Hanya orang yang ada dan pernah ada kelemumur sahaja tahu
betapa rimasnya kulit kepala, kan? Kelemumur, dundraf mahupun ketombe kata
orang Indonesia membawa pengertian yang rata-rata kita semua tahu. Ia adalah
masalah kulit kepala dengan butir-butir putih yang membuatkan kepala gatal dan
amat tidak menyelesakan. Kalau pakai baju berwarna gelap pula, kelemumur boleh
jatuh dan nampak begitu jelas pada baju. Alahai, boleh mencemar imej.
Jom Jaja nak borak pasal kelemumur.
Masalah kelemumur ini biasanya disebabkan oleh beberapa
perkara:
- Seborrheic dermatitis
- Kurang mencuci rambut
- Terlalu kerap mencuci rambut
- Psoriasis
- Eczema
- Sensitif terhadap sesetengah produk rambut
- Jangkitan yis malassezia
Mengetahui punca sebenar kelemumur adalah amat penting bagi
setiap individu yang mengalami masalah ini kerana setiap orang mempunyai sebab
yang berlainan, justeru memerlukan penyelesaian yang berlainan juga.
Seperti perbincangan seorang doktor di dalam Arkib Utusan
Malaysia bertarikh 9 Jun 2013, beliau
telah menerangkan tentang setiap punca bagi masalah kelemumur.
Seborrheic dermatitis adalah masalah kulit yang biasanya
menunjukkan symptom gatal-gatal, kulit kepala berminyak, kulit kepala kering
dan berkeruping. Ia terjadi akibat cuaca panas. Keruping yang terjadi biasanya
kecil-kecil dan kurang berminyak.
Selain itu, sikap kurang mencuci rambut juga menyumbang
kepada masalah kelemumur. Sel-sel kulit kita sebenarnya ada yang mati lalu
digantikan dengan sel-sel baru. Mencuci rambut akan membantu untuk
menyingkirkan sel-sel lama yang telah mati tersebut. Namun, jika kurang mencuci
rambut, sel mati dan minyak daripada kulit kepala akan terbina dan menyebabkan
kelemumur. Kurang mencuci rambut itu tidak bagus, tetapi tidak bermakna terlalu
kerap mencuci juga bagus. Terlalu kerap mencuci rambut juga boleh menyebabkan
masalah kelemumur. Bersederhana okey? Dan mesti pilih produk syampu yang sesuai juga.
Apakah pula psoriasis? Ia adalah sejenis penyakit kulit yang
menjejaskan kitaran hidup sel kulit. Psoriasis menyebabkan sel kulit tumbuh
terlalu cepat pada permukaan kulit kepala, menjadikan ia bersisik tebal,
berkilat yang gatal, kering, kemerahan dan kadangkala menimbulkan sakit yang
berlanjutan. Sel kulit yang bersisik tebal ini akhirnya berkeruping dan luruh
sebagai kelemumur.
Pesakit ekzema pula lazimnya biasa mengalami masalah
kelemumur.
Memetik tentang yis Malassezia, ia adalah mikroorganisma
yang hidup pada kulit kepala setiap individu. Masalah berlaku apabila koloni
yis ini tidak terkawal. Ia akan merembeskan lebih minyak daripada folikel
rambut kita. Seterusnya ia menyebabkan
kerengsaan pada kulit kepala dan menggalakkan sel kulit terhasil dengan lebih
banyak. Lebihan sel kulit akan bercampur pula dengan minyak daripada rambut dan kulit kepala, menyebabkan
ia jadi memutih, berkeping dan jelas kelihatan pada rambut dan pakaian.
Jadi sebagai kesimpulan, adakah anda sudah mengenal punca
kelemumur sendiri? Cuba berfikir sejenak dan merangka pelan penyelesaian yang
paling ideal untuk mengatasi masalah kelemumur tersebut. Berjumpa pakar
dermatologi adalah yang terbaik supaya kita boleh mendapatkan konsultasi
bertauliah mengenai kesihatan kulit kepala kita.
Kenalpasti punca masalah, insyaAllah mudah mencari
penyelesaiannya. Mudah-mudahan artikel ini membantu anda ;)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan