Follow Us @bijak.sihat

11 Oktober 2017

Fungsi Kolagen dalam Badan Manusia

Kedut akibat penuaan adalah kerana kandungan kolagen yang semakin berkurang dalam badan

Selalu kan kita dengar pasal kolagen ni? Lagi-lagi dalam produk kesihatan dan kecantikanlah! Jadi, penting juga tu untuk kita tau serba-sedikit tentang fungsi kolagen lagi-lagi kalau kita memang antara pengguna produk yang berlabel kolagen.

Namun kali ini, Jaja nak cerita pasal fungsi kolagen dalam badan manusia dulu, insyaAllah ada kesempatan kita akan bincangkan pasal kolagen komersil pula ye.


Apa itu Kolagen?


Kolagen sebenarnya adalah salah satu komponen dalam badan kita. Ia di bawah kumpulan protein dan lebih kurang satu per tiga keseluruhan protein dalam badan kita terdiri daripada kolagen inilah. Ia adalah struktur asas pada kulit, tendon (tisu yang menyambungkan otot dengan tulang kita), membrane (lapisan permukaan pada sel badan) dan pada pelbagai tisu penghubung.

Semasa seseorang itu membesar, protein termasuk kolagen amat-amat penting dalam pertumbuhan dan perkembangan tubuh seseorang. Penjanaan sel yang baru berlaku dengan giat. Selepas tempoh kanak-kanak dan remaja, kira-kira pada umur 25 tahun ke atas, kolagen dalam badan kita mulai menyusut pada kadar 1.5 peratus setahun. Sehingga usia 45 tahun pula, kita dijangka akan kehilangan sebanyak 30 peratus daripada kolagen semulajadi. Apa akan terjadi apabila kolagen tubuh semakin berkurang?

Kolagen mengelakkan kulit berkedut

Fungsi Kolagen



Kolagen jika pada kulit, bersama dengan suatu bahan lagi dipanggil elastin akan memberi struktur dan fleksibiliti kepada kulit semasa kulit meregang supaya ia kembali kepada kedudukan asal. Pendek kata, kulit kita takkan berkedut sebab ada kolagen dan elastin ni. Jadi kehilangan kolagen dari badan akan menyebabkan struktur kulit menjadi tidak tegang dan berkedut. Hehe

Untuk tulang, kolagen berperanan pula sebagai salah satu komponen pembinaan tulang. Kolagen bersama satu bahan mineral yang dipanggil hydroxyapatite membentuk komponen tulang menjadikan ia berstruktur, fleksibel dan kuat. Jika kolagen berkurang? Yes, tulang kita aka nada risiko rapuh.

Otot badan kita berfungsi sebagai tisu penghubung antara satu tulang dengan tulang yang lain supaya badan kita dapat bergerak. Sifat elastic sangat penting kepada otot oleh kerana modus kerjanya yang perlu mengendur dan mengecut ketika pergerakan. Fiber kolagen adalah komponen utama bagi otot, maka memenuhi keperluan sifat elastik ini.

Satu lagi bahagian dalam badan kita yang terdapat kolagen ialah dinding salur darah. Dinding salur darah terbina daripada kolagen yang memberikan ia struktur, kekuatan dan fleksibiliti dalam menjalankan tugas menyalurkan darah ke seluruh badan.


Bagaimana Badan Menghasilkan Kolagen?

Struktur Kolagen

Suatu sel khas di dalam kulit menghasilkan suatu molekul kecil bahan yang dipanggil pro-kolagen. Bahan ini dihasilkan daripada protein daripada pemakanan seseorang itu selain dengan bantuan vitamin C. Pro-kolagen adalah unit asas bagi gentian kolagen yang lebih besar dengan fungsi yang dibincangkan sebelum ini. Paling utama ialah kolagen yang terbentuk akan menyokong struktur kulit dan memberi sifat elastik. Oleh itu, jika mahu kolagen kekal di dalam badan, maka banyakkan makan makanan bersumber protein dan kaya vitamin C.


Mengapa Kolagen boleh Berkurang?


Apabila kolagen semakin berkurang dalam badan, maka kulit menjadi berkedut dan fungsi otot serta tulang juga akan terganggu. Selain faktor usia, ada juga faktor lain yang mempengaruhi kehilangan kolagen dari badan kita. Antaranya ialah:
  • Pendedahan kepada sinaran matahari
  • Pencemaran udara
  • Tabiat merokok
  • Meminum alkohol

Jadi, kalau anda nak pelihara kandungan kolagen dalam badan anda, ini dia beberapa tips untuk anda:
  • Banyakkan makanan dari sumber protein
  • Banyakkan memakan buah dan sayuran yang kaya vitamin C
  • Pakai sunblock apabila ingin keluar rumah
  • Amalkan krim anti-penuaan
  • Berhenti merokok
  • Berhenti meminum alkohol


Baca Selanjutnya: Rahsia Wanita ini Masih Cantik di Usia 54 Tahun



Rujukan:

1) MyHealth
2) LiveStrong

Tiada ulasan: