7 Kelas Makanan dan Fungsinya


Makanan adalah keperluan yang menjamin pertumbuhan dan kesinambungan hidup kita. Untuk mengekalkan kesihatan yang baik, pastilah pengambilan makanan yang seimbang amat penting. Kali ini cik Jaja nak bercerita sedikit tentang 7 Kelas Makanan serta fungsi-fungsinya ;)

Sumber Gambar: Cikgu Hailmi
7 Kelas Makanan tersebut ialah: 
- Karbohidrat
- Protein
- Lemak
- Vitamin
- Mineral
- Pelawas / Serat
- Air

Karbohidrat

Karbohidrat termasuklah gula, kanji, glikogen dan selulosa. Tapi kalau nak senang faham, karbohidrat ini adalah jenis makanan yang mengenyangkan seperti nasi, roti, gandum, kentang dan lain-lain.

Fungsi karbohidrat ialah: 
  • Membekalkan tenaga untuk proses-proses badan 
  • Ia menggantikan protein untuk membina dan membaiki tisu badan 
  • Ia juga penting untuk pengoksidaan lemak bagi menghasilkan tenaga 


Protein

Protein ada 2 jenis iaitu protein haiwan dan protein tumbuhan. Protein haiwan seperti daging, ikan dan telur manakala protein tumbuhan pula seperti kekacang dan biji benih. Apa pula fungsi protein ya? 
  • Ia diperlukan untuk pertumbuhan (proses membesar) dan pembaikan tisu-tisu badan yang haus dan rosak 
  • Ia diperlukan untuk membina enzim dan sesetengah hormon badan 
  • Ia membentuk antibodi yang membantu badan kita melawan jangkitan dan penyakit 
  • Menjadi salah satu sumber tenaga badan. 

Hmm, jadi tak hairan ia menjadi menu utama dalam kaedah Diet Atkins kan?


Lemak

Nama pun lemak, rasa macam tak suka kan? :P Suka atau tidak, jangan pula menafikan keperluan lemak dalam pemakanan kita ye.  Antaranya:
  • Sumber tenaga yang membekalkan 2 kali ganda tenaga berbanding karbohidrat dalam kuantiti yang sama 
  • Melindungi organ-organ seperti ginjal (buah pinggang) dan jantung daripada pergerakan secara tiba-tiba atau hentaman luar 
  • Ia menjadi pelarut kepada vitamin larut lemak; A, D, E dan K 
  • Lemak ialah komponen penting bagi membran sel badan kita 
  • Lemak di bawah kulit menebat badan untuk mengekalkan suhu supaya semua proses badan berjalan dengan lancar. 

Lemak boleh didapati dalam bentuk pepejal seperti mentega, margerin dan daging berlemak. Ia boleh juga didapati dalam bentuk cecair seperti minyak kelapa sawit dan minyak kelapa. 


Vitamin 

Vitamin sememangnya tidak dapat dibina di dalam badan. Pendek kata kita hanya mendapatnya dengan memakan sumber-sumbernya. Ia diperlukan sedikit saja. Fungsinya cuma satu iaitu mengekalkan tahap kesihatan yang baik. Kecil-kecil cili padi pula kan gayanya :D
Vitamin ada banyak iaitu terdiri daripada vitamin A, B, C, D, E dan K. InsyaAllah, cik Jaja akan ceritakan lebih terperinci berkaitan vitamin di lain catatan ye.


Mineral

Mineral merangkumi Kalsium, Natrium, Besi, Iodin, Fosforus dan Kalium. Ia juga seperti vitamin, diperlukan sedikit, tidak dapat dibina di dalam badan tetapi diperoleh melalui makanan. 2 fungsi Mineral ialah: 
  • Membina sel-sel baru 
  • Mengawal atur proses-proses badan 
insyaAllah, di lain catatan akan Jaja ceritakan lagi tentang mineral ya.



Pelawas / Serat

Pelawas walaupun tidak mengenyangkan kerana ia tak tercerna dalam badan, kita masih memerlukannya untuk menjaga kesihatan tau. Sumber-sumber pelawas semestinya buah-buahan dan sayur-sayuran.
Antara fungsi pelawas:
  • Ia menurunkan aras kolesterol darah dan mengawal gula darah 
  • Ia menyerap air di usus dan membantu bahan buangan bergerak dengan lebih pantas 
  • Ia mencegah masalah pencernaan seperti sembelit 


Air

Pernah dengar slogan “ Air Nafas Kehidupan “? Memang benar, kerana 60 ke 70 peratus berat badan kita adalah air. Kita mungkin boleh hidup beberapa minggu tanpa makanan tetapi akan mati dalam masa beberapa hari tanpa air ;) Fungsi air:

  • Ia bertindak sebagai pelarut bahan kimia badan Ia bertindak sebagai agen pengangkutan bagi makanan tercerna, hasil perkumuhan, hormon dan antibodi badan ke kawasan sasaran 
  • Ia terlibat dalam tindakbalas biokimia, contohnya proses pencernaan 
  • Ia merupakan komponen utama darah, cecair badan, jus pencernaan dan air kencing 
  • Ia mengawal atur suhu badan melalui penyejatan air peluh daripada kulit 

Minumlah kita sekurang-kurangnya 1.5 liter air setiap hari untuk menggantikan air yang hilang melalui peluh, air kencing, tinja dan udara hembusan.



Baiklah, cik Jaja percaya anda sudah dapat pengetahuan berkaitan fungsi setiap kelas makanan yang diceritakan. Semoga pendedahan ini memberi serba sedikit dorongan untuk kita semua mengamalkan pemakanan yang sihat, seimbang dan berkhasiat.























Tiada ulasan: