Info: Penyakit Anjing Gila atau Rabies

Baru-baru ini gempar tentang kes kematian 2 beradik di Serian, Sarawak disebabkan oleh penyakit anjing gila.


Kes pertama ialah kanak-kanak berumur 4 tahun yang mula mengalami demam sejak 5 Jun lalu. Walaupun sudah ke klinik, kanak-kanak tersebut semakin tenat, mengalami kesukaran bernafas, bersifat agresif dan hidrofobia. Mengikut cerita, dia terkena gigitan anjing kira-kira 2 ke 3 bulan sebelum itu.

Berlainan dengan si adik, kakak kanak-kanak kes pertama tersebut pula menunjukkan gejala iaitu demam, agresif, hidrofobia dan sawan hanya selepas 1 bulan sahaja terkena gigitan anjing.
Cepat betul!


Tentang Rabies dan Gejala


Penyakit anjing gila atau dipanggil rabies ini sebenarnya disebabkan oleh suatu virus yang bernama Lyssavirus. Ia menular kepada manusia daripada haiwan pembawa iaitu anjing, melalui luka gigitan, luka terbuka pada kulit dari air liur, cairan atau tisu tubuh haiwan anjing yang sudah dijangkiti.

Dilaporkan tanda-tanda seseorang itu dijangkiti rabies ialah seperti berikut:
  • Demam
  • Sakit badan
  • Sakit kepala
  • Hidrofobia (takut air dan tidak suka minum air)
  • Lumpuh
  • Koma
Melalui kenyataan akhbar KKM bertarikh 1 Julai 2017 mengenaik kes Rabies di Sarawak ini, penyakit Rabies ini boleh membawa kematian 100% jika tanda-tanda penyakit telah muncul. Bahaya!

Bagaimana Virus Rabies Memudaratkan Pesakit

Apa yang Patut Kita Lakukan?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menasihati orang ramai terutama yang tinggal di Serian untuk mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghindari penyakit ini. Kita pun boleh mengamalkannya biarpun kita tidak tinggal di Sarawak ya. Virus sebenarnya boleh tersebar tanpa kita sedari, jadi biarpun kita beribu batu dari Sarawak, ambillah langkah berjaga-jaga juga ya.
  • Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat apabila terkena gigitan anjing.
  • Bagi yang membela anjing, dapatkan suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat. Hindarkan anjing anda daripada bercampur dengan anjing liar.
  • Jika anjing peliharaan anda sakit, segera dapatkan rawatan untuknya dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar kawasan anda.
  • Melaporkan anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal anda kepada Pihak Berkuasa Tempatan.
  • Kekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi. Basuh tangan menggunakan air dan sabun selepas sentuhan dengan anjing peliharaan anda.

Tiada ulasan: