3 tahun kebelakangan ini, sejak pandemik Covid-19 melanda, perasan tak isu kesihatan mental semakin diberi perhatian?
Jika perasan, info tentang isu kesihatan mental menjadi semakin meluas. Jika di media sosial seperti Tiktok contohnya, kita akan lihat banyak konten begini oleh doktor psikologi dan doktor psikiatrik. Begitu, tak kurang juga konten daripada pesakit-pesakit kesihatan mental sendiri. Serba-sedikit sebenarnya kita sebagai orang awam lebih memahami tentang kesihatan mental ini, Alhamdulillah.
Orang yang diuji dengan masalah mental (bukan gila ya), sebenarnya sama sahaja keadaannya dengan orang diuji dengan masalah fizikal. Kedua-dauanya adakah sakit, yakni perlukan perhatian dan rawatan, serta perlukan masa untuk sembuh. Namun, sering terjadi stigma oleh masyarakat yang menganggap sakit mental kerana kurangnya iman, atau kerana sifat mengada-ada sahaja. Alangkah sedihnya!
Stigma: Sakit fizikal vs Sakit Mental |
Jadi, apakah kata-kata motivasi untuk kita berikan kepada orang terdekat kita yang diuji dengan masalah mental agaknya? Perlu diingat, sakit mental pun perlukan masa untuk sembuh, perlukan rawatan dan perhatian terutama oleh orang-orang tersayang. Jadi, berhentilah melabel mereka dengan andaian yang tidak berasas.
Penyakit mental ada pelbagai jenis, contohnya depresi (MDD), kegelisahan (anxiety disorder), skizofrenia, OCD dan lain-lain. Bagi setiap penyakit perlukan rawatan, terapi dan ubatan tertentu yang pastinya melelahkan kepada pesakit-pesakit. Bak kata orang, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
Ia tentang pemikiran, kerana sakit ini tidak kelihatan. Mereka mungkin kelihatan normal seperti orang biasa pada pandangan kita tetapi apa yang mereka lalui di sebalik mainan minda dan perasaan mereka, merekalah yang lebih tahu betapa peritnya. Sokongan orang sekeliling sangatlah membantu di samping diri pesakit sendiri yang mencuba untuk kuatkan diri dan semangat.
Suka saya berkongsi kata-kata motivasi untuk mereka yang diuji sebegini. Dipetik daripada perkongsian Dr Rozanizam, doktor pakar psikiatri UIAM, beliau berkongsi tentang sepotong ayat Al-Quran dari Surah At-Taubah ayat 5:
Dan katakanlah, "Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan."
Kata-kata motivasi ini sebenarnya sangat bermakna. Secara ringkas, Allah akan melihat segala amalan. Bagi pesakit mental atau mereka yang diuji dengan krisis mental pastinya perjuangan untuk sembuh dan pulih seperti sediakala akan memakan jiwa yang bukan kepalang. Begitu juga pengorbanan lainnya seperti pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit.
Namun, di sebalik perjuangan untuk sembuh tersebut alangkah indahnya apabila Allah memberi jaminan bahawa Allah akan melihat segala amal. Jika perjuangan untuk sembuh dan mendapatkan rawatan tersebut diniatkan kerana Allah, pastinya kita akan diganjarkan pahala setimpal oleh Allah.
Maka, pastinya kata-kata motivasi ini akan mendamaikan hati orang-orang diuji dengan sakit mental ini. Di sebalik kepayahan mereka untuk melalui setiap detik rawatan dan terapi dengan niat untuk sembuh supaya dapat berfungsi semula sebagai khalifah Allah dengan baik, ketahuilah usaha tersebut tidaklah sia-sia di mata Allah.
Semoga semua termotivasi hendaknya! Buat para pejuang sakit mahu pun krisi mental, kuatkan semangat ya! :-)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan