14 Jun 2016

Fakta Tentang Jerawat



Masalah jerawat memang memalukan! Apatahlagi kalau ia di muka, betul tak? Bukan saja ia mencacatkan penampilan kita, malah membuatkan kita rasa rendah diri dan hilang keyakinan apabila berhadapan dengan orang. Terasa seperti orang sedang mengejek-ejek wajah kita di dalam hati mereka. Memang sedih jika begitu, ye tak?

Berita baik buat mereka yang bermasalah jerawat!
JERAWAT BOLEH DIRAWAT.

Mungkin ramai yang menarik nafas lega, bukan. Tapi inilah kenyataannya yang jerawat boleh dirawat dan disembuhkan.  Tahniah buat kita!

Sebelum mula mencari penyelesaian untuk masalah jerawat anda masing-masing, apa kata kenali dahulu serba sedikit fakta tentang jerawat ini.


Masalah Jerawat dan Puncanya

Jerawat adalah masalah kulit yang berlaku apabila folikel rambut atau bulu roma kita tersumbat dengan minyak dan sel kulit mati. Ia biasa berlaku pada bahagian kulit di muka, leher, dada, belakang badan dan bahu. Jerawat amat mudah dikenali sebagai salah satu yang berikut:
  •         Blackhead / whitehead
  •         Benjolan atau bengkak berwarna merah
  •         Benjolan atau bengkak yang mengandungi nanah di dalamnya
  •         Ketumbuhan (jerawat yang jauh di dalam kulit)

Di bawah lapisan kulit kita terdapat suatu kelenjar sebum (minyak) yang bersambung dengan folikel rambut atau bulu roma. Sebum (minyak) ini adalah suatu bahan semulajadi yang melindungi kulit dan menjadikan ia lembut. Seperti yang kita faham, golongan remaja adalah golongan yang banyak mengalami masalah jerawat. Namun itu tidak bermakna peringkat umur yang lain tidak mengalami masalah ini.

Kronologi Jerawat


Menyebut tentang jerawat di kalangan remaja, semasa peringkat ini kelenjar sebum di bawah kulit akan menghasilkan sebum dengan lebih aktif disebabkan perubahan hormon seseorang itu.  Kehadiran sebum yang banyak memberi kecenderungan untuk liang roma atau liang folikel rambut tersumbat. Sumbatan ini jika terlindung oleh lapisan kulit yang nipis akan membentuk ‘whitehead’.  Sebaliknya, jika sumbatan sebum tersebut terdedah kepada udara, ia akan teroksida membentuk ‘blackhead’. Lama-kelamaan, sumbatan pada liang roma semakin besar, yang menyebabkan terjadinya benjolan. Benjolan mungkin pecah di bawah kulit dan membenarkan benda asing dan bakteria kulit masuk ke dalam bahagian kulit yang lebih dalam sehinga menyebabkan keradangan. Keradangan di permukaan kulit akan membentuk benjolan yang mengalami nanah disebabkan tindakan imunisasi dalam badan.  Bagi keradangan yang berlaku lebih jauh di dalam kulit, ia akan membentuk pula ketumbuhan (cysts).


3 Perkara yang tidak mempengaruhi Jerawat

Kita takut memakan kacang tanah goreng, kita takut memakan makanan yang pedas dan berminyak, kita menyalahkan stress sebagai punca jerawat dan kita menyangka kita belum cukup membersihkan wajah dengan sempurna!

Baca selanjutnya jika anda benci pantang-larang dan cakap-cakap yang mungkin tidak ada asasnya ini.

Menurut MedicineNet.Com, 3 perkara berikut tidak semestinya memainkan peranan dalam terjadinya masalah jerawat:

1.      Makanan    
S    Setakat ini, belum ada kajian yang dapat membuktikan bahawa makanan menjadi salah satu punca jerawat.
 
2.       Kekotoran
‘Blackhead’ bukan kekotoran, tetapi ialah sebum yang telah dioksidakan; membasuh muka atau kulit yang berjerawat secara berlebihan bahkan tidak membantu mengurangkan symptom jerawat sebaliknya menjadikan kulit kering dan merengsa. Peluh pula bukan kotoran yang menyebabkan jerawat kerana kelenjar peluh dan kelenjar sebum adalah kelenjar yang berbeza sekali.
 
3.       Tekanan / Stres
Secara am, stres bukan penyebab jerawat secara terus.


Perkara yang menggalakkan Masalah Jerawat

Tidak dinafikan terdapat faktor-faktor yang menggalakkan jerawat atau menjadikan masalah ini lebih teruk.  Antara faktor-faktor yang mungkin menyumbang ialah: 

1.       Keturunan
      Dikatakan jika salah seorang dari ibubapa pernah mengalami masalah jerawat yang kronik, masalah jerawat seseorang itu akan lebi susah dikawal.
 
2.       Tekanan pada kulit
Ada sesetengah kes, jerawat terjadi apabila bahagian kulit tersebut mengalami tekanan seperti semasa memakai topi keledar, memakai kolar baju yang ketat dan lain-lain.
 
3.       Dadah gunaan
Sesetengah pengambilan ubat dan steroid dapat memburukkan keadaan jerawat.
 
4.       Suasana pekerjaan
Bergantung kepada pekerjaan, terdedah kepada penghasilan produk industri mungkin menyebabkan jerawat terjadi.
 
5.       Penggunaan komestik
Sifat sesetengah kosmetik dan produk jagaan kulit  ada yang menutup liang pori kulit.  Oleh itu, kandungan kosmetik yang bersifat air (water based adalah digalakkan kepada individu yang mempunyai masalah jerawat. Pemilihan kosmetik yang salah akan memburukkan lagi keadaan, jadi berhati-hatilah – pastikan kandungan produk.

Apabila mendalami serba-sedikit fakta tentang jerawat ini, anda sepatutnya kini semakin jelas akan punca utama dan mencernakan punca-punca sampingan yang lain. Mencari penyelesaian untuk masalah jerawat ini pastinya lebih mudah apabila kita jelas tentang fakta sebenar. 


Nantikan dan semak artikel seterusnya tentang penyelesaian yang ideal tentang masalah jerawat ini, semestinya dengan cara yang selamat dan sihat J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen sikit? Terima kasih :)