Follow Us @bijak.sihat

16 Julai 2017

6 Cara Mendapatkan Tidur Berkualiti

Ada masalah mendapatkan tidur berkualiti?
Bagusnya tidur yang lena
Kadangkala, walaupun tempoh tidur kita di malam hari lama mungkin menjangkau 8 ke 9 jam lamanya, bila bangun pagi badan masih juga rasa letih-letih dan lesu. Hal ini disebabkan tidur yang tidak berkualiti! Ada pula orang yang tidur Cuma 2-3 jam sehari tetapi badan mereka cukup segar ketika bangun kerana mereka mendapat tidur yang lena dan berkualiti dalam tempoh yang singkat itu. 

Maka, tidur yang berkualiti bukanlah bergantung kepada tempoh tidur, sebaliknya sebanyak mana kita mendapat tidur yang lena dan cukup untuk memulihkan tenaga.


Tidur adalah waktu di mana badan kita mendapatkan rehat yang secukupnya. Malah, tidur yang berkualiti memberi banyak manfaat lain:
  • Buah pinggang membersihkan darah
  • Organ-organ mengalami detoks
  • Sel mati digantikan
  • Penyembuhan luka
  • Pembinaan tisu otot
  • Memulihkan memori
Jadi, jelaslah yang tidur berkualiti memang sangat-sangat penting untuk kita dapatkan setiap hari supaya badan kekal sihat dan bertenaga serta pemulihan badan dapat berlaku dengan baik.


Fasa Tidur: REM dan Non-REM

Menurut WebMD.com, fasa tidur terbahagi kepada 2 iaitu REM (rapid eye movement) dan Non-REM. 2 fasa ini akan bergilir-gilir terjadi semasa tempoh kita tidur. Mimpi biasanya terjadi semasa fasa tidur REM.

Terdapat 3 sub fasa untuk Non-REM, iaitu:
Fasa 1 – Mata kita tertutup, tetapi kita senang terjaga dari tidur.
Fasa 2 – Tidur menjadi sedikit lena. Denyutan jantung menjadi perlahan dan suhu badan menurun. Badan kini bersedia memasuki fasa tidur yang lena dan berkualiti.
Fasa 3 – Tidur menjadi lena dan berkualiti. Kita juga sukar untuk terbangun ketika tidur. Ketika fasa inilah badan membaiki atau mengganti tisu badan, menggalak pembinaan tulang dan otot dan meningkatkan system imun badan.
Tidur REM pula adalah di mana otak kita menjadi aktif, seaktif ketika di siang hari ketika kita tidak tidur. Ia juga ada kebaikannya dengan memainkan peranan penting dalam keupayaan memori dan menyeimbangkan emosi kita. Biasanya kita mendapatkan 20% tidur jenis REM dalam setiap tempoh tidur, yang pusingan berlaku biasanya selepas 90 minit kita mula tidur.


Yang mana masuk dalam kategori tidur yang lena dan berkualiti? Ia adalah Fasa 3 Non-REM dan REM. Ketika kedua-dua fasa ini, tidur memberikan manfaat yang optimum dengan tujuannya iaitu memulihkan dan merehatkan badan dengan paling baik.


Cukup dan Berkualitikah Tidur Kita?

Kuantiti jam tidur seseorang bergantung kepada banyak faktor, contohnya usia. Kanak-kanak biasanya memerlukan 11 ke 14 jam tidur berbanding bayi yang lebih lama iaitu 12 ke 15 jam sehari. Bagi orang dewasa, 7 ke 9 jam tidur adalah tempoh yang normal. Walau bagaimanapun, pakar mengatakan jika kita merasa mengantuk di siang hari, itu menunjukkan kita mungkin masih belum cukup tidur!

Kekurangan tidur tidak bagus untuk badan kerana:
-          Masalah keupayaan memori
-          Kemurungan
-          Melemahkan sistem imun badan
-          Meningkatkan risiko jatuh sakit

6 Cara Mendapatkan Tidur Berkualiti

Jom semak! Cuba amalkan untuk kesejahteraan masa tidur anda ;)

1. Menjaga waktu tidur
 
Tidur pada masa yang sama setiap hari akan melatih badan dengan jadual tersebut. Pastinya ia juga menjamin tempoh tidur yang mencukupi untuk anda.
2. Jauhi Kafein
 
Pernah minum kopi atau Nescafe sebab nak stay up di malam hari? Ya, kafein memang berupaya membuatkan anda celik mata persis burung hantu di malam hari. Untuk mendapatkan tidur yang berkualiti tanpa gangguan, jauhilah mengambil kafein sebelum tidur. Jika tidak, anda akan menjadi sukar tidur dan rasa terganggu.
3. Suasana yang selesa
 
Suasana tempat tidur, keselesaan tilam, suhu dan aroma juga boleh mempengaruhi tidur yang lena. Jadi jangan abaikan :)
4. Kurangkan tidur siang
Jika sudah tidur lama di siang hari, tentu sukar mahu tidur di malamnya. Jadi, hadkan waktu tidur di siang hari, mungkin cukup sekadar 10 ke 30 minit sahaja di kala tengahari.
5. Aktiviti rutin sebelum tidur
 
Bacalah buku, mendengar lagu, mengaji al-Quran, mandi air suam atau lain-lain kerana aktiviti fizikal seperti ini dapat membuatkan kita cepat tidur dan memperoleh tidur berkualiti.
6. Tangani stres
 
Stres boleh jadi salah satu sebab mengapa tidur tidak lena, mungkin kerana asyik memikirkan masalah saban waktu. Jadi kawal dan atasilah stress masing-masing supaya boleh tidur lena di malam hari kelak. 
Diharapkan, tips dan info di sini berguna buat anda semua! Semoga mendapat tidur yang lena selalu :)

Rujukan:

1) Sinar Harian Online 
2) WebMD.com

Tiada ulasan: