Follow Us @bijak.sihat

21 Disember 2016

Baik Buruk Kelahiran Alami @ Gentle Birth

Sekadar Hiasan

Sewaktu orang kecoh tentang kelahiran alami atau normal birth hari itu, saya ada berfikir juga mengapa. Kita sudah ada teknologi moden. Sudah ada doktor pakar dan pengamal perubatan yang bertauliah. Kerjaya bidan kian terhakis. Bomoh-bomoh juga. Walaupun masih ada, tapi ia sudah sedikit. Mentaliti orang kita juga kian berubah. Rata-rata lebih percaya kepada perubatan moden dibandingkan berjumpa dukun dan bomoh (pastinya bukan bomoh yang menipu dan jauh menyimpang dari batasan agama) sebagai kaedah tradisional. Dan, dalam soal kelahiran bayi, saya juga berfikir yang kelahiran dibantu oleh doktor dan jururawat kan lebih elok? Berbanding menanggung risiko kerana degil ingin melahirkan secara alami. Bagaimana jika bayi songsang? Bayi lemas atau ada komplikasi kepada ibu mahupun anak?



Okey, sebenarnya kisah normal birth itu mungkin ada kebaikannya juga. Jika diteliti, si ibu diajar segala kaedah-kaedah dengan terperinci, sehingga mereka yakin untuk melahirkan secara alami. Biar begitu, kita sebagai orang awam sebenarnya takut dengan risiko yang ada bahkan ia melibatkan nyawa, betul kan?

Jaja ingin berkongsi sedikit tentang kelahiran alami ini. Selepas itu, terpulanglah kepada anda untuk menilainya sama ada wajar, baik atau buruk yang lebih utama.

Sebenarnya apabila timbul suatu isu, kita tidak boleh cepat melatah sebelum sempat tahu maklumat tentangnya terlebih dulu. Suatu pengajaran untuk Jaja juga kerana belum tahu tentang kelahiran alami tapi sudah buat andaian bukan-bukan. Jangan tiru macam Jaja ye, hehe ;)

Setelah buat sikit kajian dan berdasarkan pembacaan dari sumber yang pelbagai, ini sedikit info yang dapat saya kongsikan berkaitan kelahiran alami @ normal birth @ gentle birth ini.

  • Kelahiran alami adalah kelahiran tanpa menggunakan ubatan kimia yang biasanya disuntik kepada ibu untuk merangsang pembukaan serviks (laluan keluar bayi), untuk menahan sakit atau jika terdapat masalah-masalah lain semasa kelahiran 
  • Kelahiran alami juga bermaksud ibu melahirkan secara normal, bukan dengan cara pembedahan atau vacuum bayi Kelahiran alami bergantung kepada ketahanan tubuh badan ibu untuk melahirkan tanpa sebarang ubat penahan sakit 
  • Kelahiran alami bukanlah tidak sakit langsung. Ia menyakitkan seperti kelahiran di hospital tetapi si ibu telah diajar bagaimana untuk mengendalikan rasa sakit itu dengan baik 
  • Pengambilan makanan yang sihat dan organik amat digalakkan kepada ibu yang ingin melahirkan dengan kaedah ini, supaya badan benar-benar kuat 
  • Terdapat beberapa kaedah yang diajar untuk si ibu mengendalikan  kesakitan saat melahirkan. Ia termasuklah berendam dalam air sejuk atau suam, teknik visual dan menghipnosis diri (self-hypnosis).  Kata kunci utama ialah, si ibu mesti berada dalam keadaan relaks 
  • Terdapat juga alat-alat bantu senaman untuk si ibu supaya membantu kelahiran yang mudah nanti 
Senaman, Relaks dan Kestabilan Emosi yang penting buat bakal ibu

  • Si ibu biasanya mengupah seorang doula untuk menemani semasa proses kelahiran. Doula bertindak sebagai seorang pemberi semangat, membantu segala yang berkaitan supaya ibu yang hendak melahirkan sentiasa dalam keadaan relaks, mengurut jika perlu dan mencadangkan penyelesaian dengan cepat dalam masalah-masalah yang timbul semasa melahirkan 
  • Ibu boleh memilih posisi yang sesuai semasa melahirkan seperti duduk bersandar atau mencangkung sekalipun. 
  • Kelahiran alami boleh berlaku di mana sahaja sama ada di hospital atau di rumah. Biasanya ibu memerlukan sokongan emosi dan fizikal semasa sakit hendak bersalin. Suami adalah pasangan yang terbaik dalam hal ini selain doula yang berpengalaman. 
  • Semasa kandungan sudah sarat, ibu mengandung digalakkan untuk kerap berjalan supaya mudah melahirkan. Ia dilakukan tanpa si ibu dipaksa meneran seperti di hospital.  Ia lebih kepada mekanisme semulajadi kerana relaks si ibu merangsang kelahiran dengan lebih cepat dan mudah. 
  • mereka ada persatuan kelahiran alami dan mendapat sokongan dari situ dari segi latihan, teknik dan mental

Bagaimana? Kelihatannya kelahiran alami tidak sedahsyat yang disangka kan? Namun soal keselamatan ibu dan bakal bayi harus juga diambil kira. Sekiranya ia dilakukan di rumah tanpa ada doctor bertauliah, rasanya tak bagus juga kan. Jika ada doktor, sekurang-kurangnya boleh juga membantu saat risiko menjengah. Walau apa pun, ini cuma pendapat kecil saya.

Bab menjaga pemakanan pula, saya amat setuju. Makanan kita sekarang dicemari juga dengan bahan kimia, contoh ayam yang disuntik, pengawet kimia yang memudaratkan dalam jangka masa panjang dan MSG yang tidak bagus. Itu belum lagi dicampur dengan cara masakan kita yang tidak sihat; banyak minyak, banyak lemak, banyak fast food dan lain-lain. Senaman juga jarang-jarang pula dilakukan. Just wondering mengapa orang dulu sihat-sihat belaka walaupun makan kuat dan banyak santan dalam masakan. Thus, back to nature of organic food adalah suatu cadangan yang baik, bukan sekadar kepada ibu yang ingin melahirkan secara alami tetapi juga kepada semua yang ingin hidup lebih sihat.

Diharap perkongsian ini boleh membuka mata kita sedikit mengapa ada orang yang sangat-sangat mempertahankannya apabila ia dikeji kebanyakan orang, kerana kita juga tahu ubatan kimia tidaklah baik sangat kepada ibu dan bayi, selain risiko kecuaian staf hospital yang menyebabkan jangkitan, mudarat kepada bayi (patah tangan, lemas dan lain-lain) atau komplikasi kepada si ibu.

Pendapat anda pula bagaimana?

Baca juga kisah benar seorang sahabat Jaja: Kisah Pengalaman Sebenar Gentle Birth

Tiada ulasan: