7 Kelas Makanan dan Fungsinya


Makanan adalah keperluan yang menjamin pertumbuhan dan kesinambungan hidup kita. Untuk mengekalkan kesihatan yang baik, pastilah pengambilan makanan yang seimbang amat penting. Kali ini cik Jaja nak bercerita sedikit tentang 7 Kelas Makanan serta fungsi-fungsinya ;)

Sumber Gambar: Cikgu Hailmi
7 Kelas Makanan tersebut ialah: 
- Karbohidrat
- Protein
- Lemak
- Vitamin
- Mineral
- Pelawas / Serat
- Air

Karbohidrat

Karbohidrat termasuklah gula, kanji, glikogen dan selulosa. Tapi kalau nak senang faham, karbohidrat ini adalah jenis makanan yang mengenyangkan seperti nasi, roti, gandum, kentang dan lain-lain.

Fungsi karbohidrat ialah: 
  • Membekalkan tenaga untuk proses-proses badan 
  • Ia menggantikan protein untuk membina dan membaiki tisu badan 
  • Ia juga penting untuk pengoksidaan lemak bagi menghasilkan tenaga 


Protein

Protein ada 2 jenis iaitu protein haiwan dan protein tumbuhan. Protein haiwan seperti daging, ikan dan telur manakala protein tumbuhan pula seperti kekacang dan biji benih. Apa pula fungsi protein ya? 
  • Ia diperlukan untuk pertumbuhan (proses membesar) dan pembaikan tisu-tisu badan yang haus dan rosak 
  • Ia diperlukan untuk membina enzim dan sesetengah hormon badan 
  • Ia membentuk antibodi yang membantu badan kita melawan jangkitan dan penyakit 
  • Menjadi salah satu sumber tenaga badan. 

Hmm, jadi tak hairan ia menjadi menu utama dalam kaedah Diet Atkins kan?


Lemak

Nama pun lemak, rasa macam tak suka kan? :P Suka atau tidak, jangan pula menafikan keperluan lemak dalam pemakanan kita ye.  Antaranya:
  • Sumber tenaga yang membekalkan 2 kali ganda tenaga berbanding karbohidrat dalam kuantiti yang sama 
  • Melindungi organ-organ seperti ginjal (buah pinggang) dan jantung daripada pergerakan secara tiba-tiba atau hentaman luar 
  • Ia menjadi pelarut kepada vitamin larut lemak; A, D, E dan K 
  • Lemak ialah komponen penting bagi membran sel badan kita 
  • Lemak di bawah kulit menebat badan untuk mengekalkan suhu supaya semua proses badan berjalan dengan lancar. 

Lemak boleh didapati dalam bentuk pepejal seperti mentega, margerin dan daging berlemak. Ia boleh juga didapati dalam bentuk cecair seperti minyak kelapa sawit dan minyak kelapa. 


Vitamin 

Vitamin sememangnya tidak dapat dibina di dalam badan. Pendek kata kita hanya mendapatnya dengan memakan sumber-sumbernya. Ia diperlukan sedikit saja. Fungsinya cuma satu iaitu mengekalkan tahap kesihatan yang baik. Kecil-kecil cili padi pula kan gayanya :D
Vitamin ada banyak iaitu terdiri daripada vitamin A, B, C, D, E dan K. InsyaAllah, cik Jaja akan ceritakan lebih terperinci berkaitan vitamin di lain catatan ye.


Mineral

Mineral merangkumi Kalsium, Natrium, Besi, Iodin, Fosforus dan Kalium. Ia juga seperti vitamin, diperlukan sedikit, tidak dapat dibina di dalam badan tetapi diperoleh melalui makanan. 2 fungsi Mineral ialah: 
  • Membina sel-sel baru 
  • Mengawal atur proses-proses badan 
insyaAllah, di lain catatan akan Jaja ceritakan lagi tentang mineral ya.



Pelawas / Serat

Pelawas walaupun tidak mengenyangkan kerana ia tak tercerna dalam badan, kita masih memerlukannya untuk menjaga kesihatan tau. Sumber-sumber pelawas semestinya buah-buahan dan sayur-sayuran.
Antara fungsi pelawas:
  • Ia menurunkan aras kolesterol darah dan mengawal gula darah 
  • Ia menyerap air di usus dan membantu bahan buangan bergerak dengan lebih pantas 
  • Ia mencegah masalah pencernaan seperti sembelit 


Air

Pernah dengar slogan “ Air Nafas Kehidupan “? Memang benar, kerana 60 ke 70 peratus berat badan kita adalah air. Kita mungkin boleh hidup beberapa minggu tanpa makanan tetapi akan mati dalam masa beberapa hari tanpa air ;) Fungsi air:

  • Ia bertindak sebagai pelarut bahan kimia badan Ia bertindak sebagai agen pengangkutan bagi makanan tercerna, hasil perkumuhan, hormon dan antibodi badan ke kawasan sasaran 
  • Ia terlibat dalam tindakbalas biokimia, contohnya proses pencernaan 
  • Ia merupakan komponen utama darah, cecair badan, jus pencernaan dan air kencing 
  • Ia mengawal atur suhu badan melalui penyejatan air peluh daripada kulit 

Minumlah kita sekurang-kurangnya 1.5 liter air setiap hari untuk menggantikan air yang hilang melalui peluh, air kencing, tinja dan udara hembusan.



Baiklah, cik Jaja percaya anda sudah dapat pengetahuan berkaitan fungsi setiap kelas makanan yang diceritakan. Semoga pendedahan ini memberi serba sedikit dorongan untuk kita semua mengamalkan pemakanan yang sihat, seimbang dan berkhasiat.























Bahaya Berak Berdarah: Punca-puncanya

Aduh, seramnya bila mengalami berak berdarah! Bagi anda yang tidak pernah mengalami situasi ini pasti tidak dapat merasai ketakutan yang dirasai oleh mereka yang pernah alaminya sendiri. Sedar mahu tidak sedar, ketakutan pasti ada kerana memikirkan segala macam kemungkinan musibah penyakit yang mungkin melanda.



2 KATEGORI

Ada 2 kategori berak berdarah yang dimaksudkan di sini. Yang pertama ialah najis berwarna merah kehitam-hitaman (najis bersama darah). Yang pertama ini berlaku akibat darah melewati usus kecil (ileum) dan usus besar sebelum seterusnya dibuang bersama najis. Darah mengalami pengoksidaan, terproses bersama penghasilan najis dan keluar sebagai sebahagian daripadanya. Jenis berak berdarah yang kedua ialah jenis darah segar, merah terang atau pun dikatakan sebagai darah hidup. Ia keluar menitik-nitik selepas najis.

Ehem, anda seram tak membacanya? cik Jaja pun.. ^^
Sebab cik Jaja sendiri pernah mengalaminya, sampai saat nak buang air kecil pun rasa takut. Ngeri pulak masa sampai masa untuk buang air besar. Huhu

Mari kita teliti beberapa sebab kepada situasi berak berdarah ini ye. Mudah-mudahan kita lebih faham dan berbuat sesuatu dengan info yang diberikan. Sekurang-kurangnya jadikan ia sebagai pengetahuan yang menuntut kita agar selalu memelihara kesihatan tubuh badan sendiri dengan baik ;)

PENYEBAB BERAK BERDARAH

Menurut laman The Malaysian Medical Gazette, ada 7 penyebab atau punca-punca kepada keadaan najis berdarah. cik Jaja ringkaskan menjadi 6 seperti berikut:

  1. Buasir (haemorrhoid) & Luka di anus (anal fissure)– buasir berlaku akibat luka pada salur darah di bahagian lubang dubur (anus). Pesakit adakalanya akan merasai benjolan atau bengkak pada lubang dubur, rasa gatal atau sakit. Darah yang keluar tidak beserta dengan najis, ia jenis darah hidup dan menitis selepas membuang air besar. 
  2. Divertikulum – Terdapat titik-titik lemah dengan istilah poket-poket kecil yang terdapat merata-rata pada usus besar. Tekanan yang besar di dalam usus boleh menyebabkan berlaku pendarahan pada titik-titik lemah ini. Darah yang keluar selalunya darah yang segar kadang kala berketul seperti pendarahan haid di kalangan wanita. 
  3. Kanser – Kanser usus adalah kanser yang ketiga tertinggi dikalangan pesakit di Malaysia. Nauzubillah! Antara tanda- tanda awal ialah berak berdarah yang tidak mendatangkan sebarang kesakitan sewaktu membuang najis dan darah akan bercampur dengan najis. 
  4. Polip – ia merupakan ketumbuhan yang boleh wujud di sepanjang usus. Pendarahannya boleh menyumbang kepada situasi berak berdarah adalah ketumbuhan “daging” yang boleh terdapat di sepanjang usus. Apa yang ditakuti ialah Polip berpotensi menjadi kanser. 
  5. Angiodisplasia – ia adalah pendarahan untuk salur darah kecil pada kawasan usus. Bergantung pada kedudukannya di usus, darah yang keluar boleh jadi merah sehingga kehitaman. 
  6. Keradangan usus (proctitis / colitis) – keradangan berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman. Pesakit akan mengadu cirit bercampur dengan darah atau najis yang lembut diselaputi darah.
  7. Ubat – Percaya atau tidak, beberapa jenis ubat boleh menyebabkan pendarahan. Sebagai contoh seperti ubat pencair darah, iaitu warfarin dan aspirin.
Bagi anda yang pernah mengalami berak berdarah, cuba semak jika info ini dapat membantu. Pemeriksaan di institusi kesihatan tentunya adalah keputusan yang terbaik untuk mendiagnos punca sebenar berak berdarah yang dialami.

InsyaAllah, di lain masa cik Jaja cuba pula kongsikan bagaimana prosedur pemeriksaan tentang berak berdarah dilakukan oleh doktor di hospital, tips memulihkan berak berdarah dan tips amalan menjaga usus dengan baik.