Follow Us @bijak.sihat

30 Mac 2017

Punca-punca Masalah Kelemumur

Hanya orang yang ada dan pernah ada kelemumur sahaja tahu betapa rimasnya kulit kepala, kan? Kelemumur, dundraf mahupun ketombe kata orang Indonesia membawa pengertian yang rata-rata kita semua tahu. Ia adalah masalah kulit kepala dengan butir-butir putih yang membuatkan kepala gatal dan amat tidak menyelesakan. Kalau pakai baju berwarna gelap pula, kelemumur boleh jatuh dan nampak begitu jelas pada baju. Alahai, boleh mencemar imej.

Jom Jaja nak borak pasal kelemumur.

Masalah kelemumur ini biasanya disebabkan oleh beberapa perkara:
  1. Seborrheic dermatitis
  2. Kurang mencuci rambut
  3. Terlalu kerap mencuci rambut
  4. Psoriasis
  5. Eczema
  6. Sensitif terhadap sesetengah produk rambut
  7. Jangkitan yis malassezia

Mengetahui punca sebenar kelemumur adalah amat penting bagi setiap individu yang mengalami masalah ini kerana setiap orang mempunyai sebab yang berlainan, justeru memerlukan penyelesaian yang berlainan juga.

Seperti perbincangan seorang doktor di dalam Arkib Utusan Malaysia bertarikh 9 Jun 2013,  beliau telah menerangkan tentang setiap punca bagi masalah kelemumur.

Seborrheic dermatitis adalah masalah kulit yang biasanya menunjukkan symptom gatal-gatal, kulit kepala berminyak, kulit kepala kering dan berkeruping. Ia terjadi akibat cuaca panas. Keruping yang terjadi biasanya kecil-kecil dan kurang berminyak.

Selain itu, sikap kurang mencuci rambut juga menyumbang kepada masalah kelemumur. Sel-sel kulit kita sebenarnya ada yang mati lalu digantikan dengan sel-sel baru. Mencuci rambut akan membantu untuk menyingkirkan sel-sel lama yang telah mati tersebut. Namun, jika kurang mencuci rambut, sel mati dan minyak daripada kulit kepala akan terbina dan menyebabkan kelemumur. Kurang mencuci rambut itu tidak bagus, tetapi tidak bermakna terlalu kerap mencuci juga bagus. Terlalu kerap mencuci rambut juga boleh menyebabkan masalah kelemumur. Bersederhana okey? Dan mesti pilih produk syampu yang sesuai juga.

Apakah pula psoriasis? Ia adalah sejenis penyakit kulit yang menjejaskan kitaran hidup sel kulit. Psoriasis menyebabkan sel kulit tumbuh terlalu cepat pada permukaan kulit kepala, menjadikan ia bersisik tebal, berkilat yang gatal, kering, kemerahan dan kadangkala menimbulkan sakit yang berlanjutan. Sel kulit yang bersisik tebal ini akhirnya berkeruping dan luruh sebagai kelemumur.

Pesakit ekzema pula lazimnya biasa mengalami masalah kelemumur.

Memetik tentang yis Malassezia, ia adalah mikroorganisma yang hidup pada kulit kepala setiap individu. Masalah berlaku apabila koloni yis ini tidak terkawal. Ia akan merembeskan lebih minyak daripada folikel rambut kita. Seterusnya  ia menyebabkan kerengsaan pada kulit kepala dan menggalakkan sel kulit terhasil dengan lebih banyak. Lebihan sel kulit akan bercampur pula dengan minyak  daripada rambut dan kulit kepala, menyebabkan ia jadi memutih, berkeping dan jelas kelihatan pada rambut dan pakaian. 

Jadi sebagai kesimpulan, adakah anda sudah mengenal punca kelemumur sendiri? Cuba berfikir sejenak dan merangka pelan penyelesaian yang paling ideal untuk mengatasi masalah kelemumur tersebut. Berjumpa pakar dermatologi adalah yang terbaik supaya kita boleh mendapatkan konsultasi bertauliah mengenai kesihatan kulit kepala kita.

Kenalpasti punca masalah, insyaAllah mudah mencari penyelesaiannya. Mudah-mudahan artikel ini membantu anda ;)

Tiada ulasan: